A93: SMART SOLEH: Platform Modular Digital Untuk Program Pemindahan Ilmu Komuniti

HANIFAH MUSA FATHULLAH HARUN Universiti Teknologi Mara UiTM Shah Alam

Program pemindahan ilmu kepada kanak-kanak dan remaja sering dibangunkan semula dari peringkat awal setiap kali dilaksanakan. Keadaan ini menyebabkan proses perancangan mengambil masa yang panjang, kandungan program tidak seragam, terlalu bergantung kepada pengalaman fasilitator dan sukar dikembangkan oleh sukarelawan atau organisasi lain. Selain itu, kaedah penyampaian yang terlalu berorientasikan ceramah boleh menyebabkan peserta kurang fokus dan kurang terlibat secara aktif. Sehubungan itu, SMART SOLEH: Platform Modular Digital untuk Program Pemindahan Ilmu Komuniti dibangunkan sebagai satu inovasi sosial yang menyediakan koleksi modul didik hibur yang fleksibel, sistematik dan boleh disesuaikan mengikut keperluan sasaran. Platform ini membolehkan pengguna memilih, menggabungkan dan menyusun modul berdasarkan umur peserta, tempoh masa, objektif program dan konteks komuniti bagi menghasilkan template program yang lengkap serta sedia digunakan. Setiap modul merangkumi objektif pembelajaran, aktiviti interaktif, bahan pengajaran, panduan fasilitator dan instrumen penilaian. Pada peringkat awal, tiga modul telah dibangunkan dan digunakan dalam program komuniti yang memfokuskan aspek asas ibadah, Jawi, pembangunan sahsiah, English for all, motivasi dan aktiviti kreatif. Pendekatan ini menggabungkan kepakaran pensyarah, penglibatan mahasiswa sebagai fasilitator dan penyertaan komuniti dalam satu ekosistem pemindahan ilmu. Keunikan SMART SOLEH terletak pada konsep modular, fleksibel, boleh dikembangkan dan berasaskan pendekatan didik hibur yang membantu meningkatkan fokus serta penglibatan peserta. Produk ini berpotensi mengurangkan masa penyediaan program, meningkatkan konsistensi kandungan dan membolehkan lebih ramai sukarelawan melaksanakan program komuniti dengan yakin. Walaupun mempunyai potensi untuk dikomersialkan melalui pelesenan atau langganan digital, SMART SOLEH dibangunkan dengan matlamat utama sebagai sumbangan digital untuk memperluas akses kepada program pemindahan ilmu komuniti yang berkualiti, lestari dan berimpak tinggi.