A177: ALIMS (ACIS LEARNING MANAGEMENT SYSTEM): TRANSFORMASI PENDIDIKAN ISLAM MELALUI EKOSISTEM PEMBELAJARAN DIGITAL TERBUKA, INTERAKTIF DAN KOLABORATIF

Mohd Ashrof Zaki Bin Yaakob Universiti Teknologi MARA

Transformasi pendidikan tinggi dalam era digital menuntut pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih fleksibel, interaktif, kolaboratif dan berpusatkan pelajar. Dalam konteks pengajian Islam, pendekatan pembelajaran yang terlalu bergantung kepada nota, kuliah dan sumber konvensional berpotensi mengehadkan penglibatan aktif pelajar serta peluang untuk mengaplikasikan ilmu dalam konteks kehidupan sebenar. Sehubungan itu, ALIMS (ACIS Learning Management System) dibangunkan sebagai inovasi Open Educational Resources (OER) berasaskan platform digital interaktif bagi menyokong pembelajaran kursus pengajian Islam, khususnya IDP101 Ayat dan Hadis Tarbawi, CTU554 Etika dan Peradaban serta IMU701 Ayat dan Hadis Ahkam. Pembangunan ALIMS bertujuan meningkatkan penglibatan pelajar, membudayakan penggunaan OER, memperkukuh pembelajaran kolaboratif serta membangunkan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi digital, pemikiran kritis, kreativiti dan kerja berpasukan. Kebaharuan ALIMS terletak pada pengintegrasian elemen tarbiah, hukum dan etika peradaban dalam satu ekosistem pembelajaran digital yang terbuka, visual, kolaboratif dan fleksibel, dengan Padlet dimanfaatkan sebagai ruang perkongsian bahan, multimedia, kuiz, forum dan refleksi secara dinamik.