A174: SMART-QAWAID FIQHIYYAH DIGITAL LEARNING ECOSYSTEM (SMART-QF DLE)

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI UiTM Shah Alam

Al-Qawaid al-Fiqhiyyah merupakan komponen penting dalam pengajian hukum Islam, namun pelajar sering menghadapi kesukaran memahami konsep al-qawaid al-fiqhiyyah yang bersifat abstrak dan menghubungkannya dengan isu semasa. Pengajaran turut berdepan dengan kekangan masa kuliah, kepelbagaian keperluan pembelajaran, sumber bahan yang terpisah serta perkembangan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI). SMART - Qawaid Fiqhiyyah Digital Learning Ecosystem (SMART-QF DLE) dibangunkan sebagai kerangka pedagogi bersepadu bagi mentransformasikan pengajaran dan pembelajaran al-qawaid al-fiqhiyyah kepada pengalaman yang fleksibel, interaktif dan berpusatkan pelajar. Inovasi ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan aplikasi al-qawaid al-fiqhiyyah, mengintegrasikan teknologi digital dan AI, meningkatkan penglibatan serta pembelajaran kendiri (Self-Directed Learning) dan menyokong pencapaian Course Learning Outcomes (CLO), Programme Learning Outcomes (PLO), serta pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).  SMART-QF DLE mengintegrasikan MOOC, ResearchGate, Google Drive, YouTube, Padlet, Socrative, Blooket dan WhatsApp melalui tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas kuliah. AI berfungsi sebagai lapisan sokongan bagi pembangunan bahan, kajian kes fiqh kontemporari, item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), ringkasan, aktiviti interaktif dan pembelajaran diperibadikan (personalised learning) dengan semakan pensyarah bagi memastikan ketepatan fakta, kesahihan Syariah dan integriti akademik. Novelti inovasi terletak pada penyepaduan pelbagai fungsi digital dalam satu ekosistem pedagogi khusus al-qawaid al-fiqhiyyah, bukannya penggunaan aplikasi secara terasing. Pelaksanaan inovasi menyokong kefahaman, penglibatan, motivasi, pembelajaran kendiri, literasi digital dan AI serta penambahbaikan kualiti berterusan (Continuous Quality Improvement, CQI). SMART-QF DLE berpotensi dikomersialkan melalui MOOC, modul digital, permainan pendidikan, kit pengajaran, mikro-kredensial, latihan profesional dan pelesenan institusi. Kerangka ini berpotensi diperluaskan kepada kursus Shariah, Usul Fiqh, Fiqh, Muamalat, Halal dan Pengajian Islam yang lain, sekali gus menyokong peluasan akses ilmu, kelestarian inovasi pedagogi dan pembangunan pengajian Islam yang responsif terhadap keperluan mahasiswa serta masyarakat digital masa kini.